Tonjol keunikan Sarawak dalam Tahun Melawat Malaysia

Tarikh Disiarkan : 23-Feb-2013

  • Tebingan Sungai Sarawak

 

KUCHING, Khamis - Dasar kerajaan dalam mempromosikan negara menerusi Tahun Melawat Malaysia disambut baik oleh golongan warga kota negeri ini.

Tahun melawat Malaysia secara tidak langsung mempromosikan keunikan sesebuah negeri seperti Sarawak kata seorang pekerja swasta, Pauline Peter.

"Sarawak unik dengan kuih lapis dan spesis orang utan. Apabila pelancong datang ke sini, kita (rakyat Sarawak) boleh memberi maklumat kepada mereka mengenai produk tersebut," katanya lagi ketika ditemui pemberita mengenai tempat menarik yang terdapat di Sarawak untuk dipromosikan.

Pauline menambah, kedatangan pelancong dari antarabangsa atau domestik boleh meningkatkan ekonomi negara dan mempromosikan pelbagai budaya serta menjadikan Sarawak terutamanya dikenali di seluruh dunia.

Menurut seorang pekerja bank, Abdul Zakaria, 24, salah satu cara menarik pelancong datang ke Sarawak adalah menerusi penganjuran pelbagai aktiviti bertaraf antarabangsa.

"Kita sudah ada Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia dan Borneo Jazz yang terkenal di seluruh dunia. Mungkin kali ini, pihak pelancongan boleh mempromosikan keunikan rumah panjang yang terdapat di kawasan pedalaman Sarawak," jelasnya.

Kata Zakaria lagi, keluarganya mempunyai sebuah inap desa di kampung Buntal yang boleh memuatkan 21 orang peserta dengan pakej pelbagai aktiviti seperti kayak, redah hutan dan berbasikal.

"Permintaan penginapan inap desa keluarga saya agak kurang pada dua tahun penubuhan. Jadi, saya harap pada tahun ini lebih banyak pelancong datang ke kawasan kampung bukan hanya tertumpu kepada kawasan bandar sahaja," ujarnya.

Tukang jahitan di sebuah kedai, Mohd Hafiz, 23, mempunyai pendapat yang sama kerana keindahan alam semulajadi kawasan pedalaman masih banyak belum diketahui oleh pelancong asing terutamanya.

"Contohnya, kampung Boyan yang kaya dengan makanan laut seperti ambal, ketam, udang harimau dan sebagainya. Kita selalu mendengar negeri Sabah yang kaya dengan makanan tersebut. Jadi, kita juga mahu kampung-kampung ini dikenali seperti negeri Sabah," katanya.

Seorang remaja masih menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Edi Kurt Davey berkata, Sarawak kaya dengan pelbagai budaya yang boleh dibanggakan menerusi pelbagai budaya.

"Sempena Tahun Melawat Malaysia, kita boleh memperkenalkan keunikan pakaian tradisional sesebuah kaum yang terdapat di Sarawak seperti ngepan Iban dan kaum lain," ujarnya.







Comments powered by Disqus
                    





    Pandangan Anda
    Adakah anda berpuas hati dengan adanya GST dalam pembentangan budget 2014?

      Sangat Puas hati
      Terpulang Saja
      Tidak Puas Hati
    Semak Keputusan




Dapatkan Berita Hangat Terus Ke Emel Anda

Masukan nama dan emel anda ke ruangan di bawah.